.

CT selamatkan Ummah

10 April 2011

Alhamdulillah.. dengan izin ALLAH, saya kurang sihat akhir-akhir ini. Mudah-mudahan sakit ini menjadi ibtila' iaitu penghapus dosa-dosa yang telah saya lakukan. Sesekali saya rasakan betapa nikmatnya sakit ini. Bukan sama sekali kerana saya boleh rehat seketika, tetapi kerana ALLAH membantu menyingkirkan dosa-dosa hamba-NYA yang hina ini dan membawa hamba-NYA ini dekat kepada-NYA. Insya-ALLAH..

Baru-baru ini  terjadi suatu rusuhan di bekas sekolah rendah saya,sehingga hampir berlaku adegan tumbuk-menumbuk. Kontroversi berlaku antara para waris dan guru-guru. Pada Mesyuarat Agong Tahunan baru-baru ini, YDP PIBG yang lebih memihak kepada guru-guru mengusulkan agar para waris tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah bermula dari pintu pagar masuk dan keluar untuk menghantar serta mengambil anak-anak mereka pulang. Para waris tidak bersetuju,jadi mereka menyuarakan pendapat mereka. Kemudian timbul pula cadangan alternatif agar dibina jalan susur masuk ke kawasan sekolah agar murid-murid tidaklah berjemuran di tengah panas sepanjang jalan  untuk ke luar pagar sekolah. Maka,para waris setuju dengan syarat dibina terlebih dahulu jalan susur masuk itu.

Namun, pada keesokan harinya telah diedarkan Pekeliling daripada guru besar bahawa para waris dilarang sama sekali untuk masuk ke kawasan sekolah. Pelaksanaan berlaku di luar kontrak janji. Kasihan sungguh saya lihat anak-anak kecil itu terpaksa mengheret beg-beg sekolah sejauh 300meter dari pintu pagar, kemudian terpaksa menaiki tangga untuk ke tingkat tiga, untuk mengutip mutiara ilmu. Letihnya dapat saya rasakan. Mereka anak kecil, apalah sangat kudrat mereka. Itu belum dikira yang berjalan kaki sejauh 1kilometer untuk tiba di pintu pagar sekolah. Tempat letak basikal berbumbung pula dijadikan tempat parkir kereta guru. Murid-murid yang datang dengan basikal disuruh meletakkan basikal mereka di tengah panas di bawah pokok. Basikal bukan sebuah, tetapi beratus-ratus.  Kesiannya..

Para waris membuak-buak amarah mereka. Para guru pula bongkak dan ego dengan jawatannya. Cakap lain, lain pula yang dibuat. Namun, para guru(bukan semua) tetap dengan keputusan mereka. Tak kurang juga para guru yang mengatakan kepada murid-murid,

"Hampa tengoklah.. mak pak hampa yang bodo-bodo tu, kerja menyusahkan orang",kata PK Kanan sekolah.

Dan di bawah ini saya titipkan beberapa dialog-dialog sebagai menjelaskan keadaan kepada pembaca sekalian dan supaya pembaca dapat membayangkan keadaan sebenar.

"Cikgu bodo,cikgu bodo, tak kesian ka budak-budak ni nak masuk mengaji kena halang macam ni, yang anak-anak cikgu pulak boleh masuk menyedap saja."

"Awat hang pandai sangat ka, kalau hang nak jugak, jadi cikgu la, dak pon hang pi tukaq anak hang masuk sekolah lain"

" Hampa mak-mak pak-pak ni terlalu manjakan anak-anak, patut la mengaji tak pandai-pandai, dok manja sangat."

"Yang cikgu bawak anak cikgu sampai ke dalam, cikgu tak pikiaq manja, ni anak-anak kami kalau eksiden ka, kena colek ka anak-anak kami macam mana?!!"

"Yang tu lantak kat hampa la, anak hampa! Bukan kerja kami dok kena pikiaq anak-anak hampa, kerja kami mai mengajaq kat sekolah saja!!"

Dalam kekalutan itu, ada juga seorang waris yang terlalu geram, masuk ke dalam laman sekolah untuk menghantar anaknya seperti biasa.Kedengaran tawa-tawa ego para guru,

"Tudiaaa... anak manja sampai dahh, siap dia satgi dalam kelas, aku ganyah budak ni, tengok-tengok pak dia tuu.."

" Anak sultannn...",selang si guru besar spontan.

  Cukuplah setakat ini gambaran keadaan sebenar kejadian. Baik, tenangkan hati dulu.Saya nak kesat air mata.Tarik nafas sedalam mungkin dan lepaskan perlahan-lahan. Lihat sebentar objek semulajadi di sekelilng terutamanya yang berwarna hijau. Baik, mari kita teruskan dengan perkongsian ini wahai saudara saudariku.

Saya melihat punca kejadian ini dan kejadian-kejadian lain yang seangkatan dengannya ialah lemahnya pemikiran yang kritis. Pemikiran yang kritis atau lebih dikenali sebagai 'critical thinking' [CT] ialah suatu kaedah berfikir dengan mengkaji terlebih dahulu dengan bukti, alasan yang jelas, sebab yang munasabah, melihat kesan jangka masa panjang, bersikap selektif(berhati-hati dalam memilih) terhadap sesuatu sumber, yang akhirnya melahirkan pemikiran yang matang, jauh daripada pengaruh emosi dan keadaan sekeliling. 

Sememangnya pemikiran yang kritis sedikit sukar dibentuk kerana memerlukan kerahan minda dan curahan tenaga yang banyak namun inilah bentuk pemikiran yang perlu diutamakan,bahkan dituntut secara shorih(jelas) dalam memahami syariat Islam. Tambah-tambah lagi, di akhir zaman ini media bersalut 'bisikan syaithoniyyah' sentiasa mengiringi setiap langkah individu yang berkehendakkan kepada kebenaran dan keadilan yang hanya di sisi Islam mampu tertegaknya hasrat itu.Tersemat suatu peringatan di dalam al-Quran mengenai kepentingan pemikiran kritikal,

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
                                           [al-Hujurat:6]

Di dalam Tafsir al-Muyassar pula disebutkan dengan lebih jelas makna ayat ini dengan lafaz,

"Wahai orang-orang yang beriman kepada Allah dan mengikuti Rasul-Nya, jika datang kepada kalian seorang fasik dengan membawa berita, teguhkan hatimu untuk meneliti berita itu sebelum kalian mempercayai dan menyebarkannya agar kalian mengetahui kebenarannya. Yang demikian agar kalian tidak keliru menimpakan hukuman kepada orang-orang yang tidak bersalah. Lalu, kalian akan menyesalinya."                            
                                               [al-Hujurat:6]
 Ayat ini diturunkan berikutan suatu peristiwa yang menyaksikan salah faham antara al-Walid bin Uqbah dan Bani Mushtholiq. Diriwayatkan oleh Ahmad daripada al-Harits bin Dhirar al-Khuza'i dan Ibnu Jarir daripada Ibnu Abbas bahawa ayat ini diturunkan berkaitan al-Walid bin Uqbah bin Abu Mu'ith yang diutus oleh Rasulullah untuk menarik zakat ternakan daripada Bani Mushtholiq. Al-Harits juga berada di tempat kejadian. Ketika mendengar kedatangan al-Walid, mereka menyambutnya. Akan tetapi, al-Walid berasa cemas dan gementar lalu pulang. Al-Walid mengadu kepada Rasulullah bahawa dirinya hendak dibunuh. Mendengar berita itu, Rasulullah berniat memerangi Bani Mushtholiq . Tetapi kemudiannya utusan daripada Bani Mushtholiq datang dan menjelaskan bahawa mereka hendak menyerahkan zakat kepada al-Walid, tetapi al-Walid terus pergi meninggalkan mereka dalam ketakutan. Maka, turunlah ayat ini.

Bagi saya, 'critical thinking' ialah suatu seni, iaitu seni berfikir(the art of thought).Socrates,iaitu seorang pengasas falsafah Barat pernah mengetengahkan suatu prinsip iaitu,

"The unexamined life is not worth living"

Maksudnya, ' kehidupan yang tidak dikaji/diteliti bukanlah kehidupan yang bermakna'. Sebagai muslim, kita dibenarkan untuk menerima sesuatu pendapat selagi mana pendapat itu tidak bertentangan dengan 'pendapat' Allah dan Rasul-Nya. Prinsip ini menegaskan prioriti pemikiran yang kritis dalam mencapai hakikat kesejahteraan sejagat. Linda Elder sekitar bulan September 2007 mengulas mengenai prinsip ini di dalam laman sesawang www.criticalthinking.org mengatakan, " Kehidupan seperti ini akan menghasilkan dunia yang tidak kritikal, tidak adil dan bahaya(uncritical,unjust and dangerous).






































Bagaimana saya dan anda dapat melaksanakannya?

Perhatikan peta minda di atas. Petak 1(paling atas) ialah sifat dan sikap yang perlu diterapkan untuk memiliki pemikiran yang kritis.Sifat-sifat itu ialah kejelasan,ketepatan,relevan,logik, ketepatan,keluasan,kesempurnaan,keadilan, dan terperinci.

Petak 2 pula ialah aspek yang menjadi penerapan sifat dan sikap tadi. Aspek itu ialah tujuan,persoalan,perspektif, maklumat, alasan, konsep, anggapan, dan implikasi.

Manakala petak 3 ialah hasilnya. Saya kemukakan di sini suatu contoh aplikasi kaedah ini sebagai panduan, kita diwara-warakan bahawa si A telah melakukan zina dengan pelacur Cina, saluran media utama seperti TV3,TV1,akhbar Berita Harian,Utusan,Mingguan, Metro, Kosmo,New Straits Times,The Star, semuanya mengatakan perkara yang sama. Jika kita terus mempercayai khabar-khabar itu tanpa menganalisis, mengkaji latar belakang si A dan juga si pendakwa, ini bermakna kita bukanlah seorang yang memiliki pemikiran yang kritis, dalam masa yang sama menunjukkan kita tidak menghiraukan peringatan Allah. 

  Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah mengkaji dengan sifat dan sikap dalam Petak1 terhadap aspek dalam Petak 2. Natijahnya, bentuk-bentuk pemikiran dalam Petak3 dapat dipupuk dan akhirnya menjadikan kita sebagai seorang muslim yang disayangi dan dikasihi oleh Allah 'Azza Wa Jalla.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu dan ini, tentulah akan terjadi begitu dan begini, tetapi katalah: “Allah telah mentakdirkan, dan Dia lakukan apa yang dikehendaki menurut kebijaksanaan-Nya ,(larangan ini) kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan(ragu terhadap ketetapan Allah).”
                                                                                                             Riwayat Muslim
 Sebarang kekeliruan dan bantuan boleh diajukan terus di ruang komen perkongsian ini di http://alcarboniy.blogspot.com/2011/04/ct-selamatkan-ummah.html .Insya-Allah, saya akan bantu apa yang termampu dengan kemampuan. Kerana ALLAH, kita bersaudara.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP