.

TOLONG!!Hujan Mesej dan Ribut Calling

31 March 2011

Alhamdulillah...Segala pujian selayaknya hanya bagi Allah. Dia Maha Memahami, Maha Penyayang, Maha Pendengar rintihan, Maha Menentukan segalanya. Ya Allah... kami bersyukur kepadaMu di atas segala nikmatMu yang tidak terbilang yang Engkau kurniakan kepada kami.

Sejak saya pulang dari Program Latihan Khidmat Negara pada 13 Mac yang lalu, saya dihujani dengan 'hujan' yang sangat lebat. ' Hujan Mesej' namanya. Saya juga dilanda 'Ribut Calling'. 'Hujan Mesej' dan ' Ribut Calling' ini telah menyebabkan saya sering sedih dan resah. Malah, sedikit sebanyak mengganggu perjalanan dakwah. Hampir setiap hari pasti ada mesej-mesej berbaur Mahabbah Jahiliyyah menerjah ke dalam Inbox Message telefon bimbit Sony Ericson saya. Mahabbah Jahiliyyah ialah rasa cinta yang tidak berteraskan akidah, ataupun berteraskan akidah tetapi bercampur dengan unsur lain seperti hawa nafsu, dan ikhtilat(pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa mengikut landasan syar'ie).

Lebih dahsyat lagi 'Hujan Mesej' dan ' Ribut Calling' ini datangnya daripada makhluk Tuhan yang bergelar 'wanita'. Sejenis makluk Tuhan yang lemah fizikalnya tetapi kini, sudah mampu menggoyahkan sebuah gagasan dakwah yang saya usaha. Bagaimana makhluk itu menggoyahkan saya? Nak tahu? Teruskan membaca.

1. Ibu saya menegur saya agar menumpukan kepada pengajian di usia remaja. Saya tak faham kenapa mak saya berkata begitu, rupa-rupanya mak terbaca mesej di dalam telefon bimbit saya. Runtuh tsiqah(kepercayaan) mak terhadap saya.

2. Saya menghabiskan masa sekurang-kurangnya 2-3 minit, kekadang lebih, untuk memadam mesej-mesej kotor itu. Kenapa lama? Takkanlah nak 'delete' mesej selama itu? Saya terpaksa mengasingkan soalan-soalan dan permintaan daripada rakan-rakan serta mad'u(orang yang didakwah) dengan bisikan-bisikan halus itu.
 3.Apabila ada panggilan, biasanya saya cuba untuk sesegera mungkin menjawabnya. Siapa tahu, barangkali panggilan itu panggilan yang penting dan kecemasan. Tapi apabila saya menekan butang untuk mengangkat panggilan, terus diputuskan pula talian. Hish.. main-main sungguh.

4. Ahli keluarga mentertawakan saya dan mengira saya 'cakap tak supa bikin punya olang', secara tidak langsung membantutkan proses Transformasi Usrah(Perubahan Keluarga) yang saya cuba dan sedang laksanakan.

5. Dan..banyak lagi taktik yang cuba digunakan oleh makhluk Tuhan ini, malu rasanya kalau nak diceritakan semua.Alahai muslimah..

Di hadapan mak saya,muslimat itu meletakkan button badge ini, dan mengatakan," Jaga diri elok-elok ya Ustad" dengan nada galak.Ya Allah.. di mana sifat al-Haya'(malu) itu.Apa dah jadi pada ummah Muhammad ni,sedihnya..Jauhkanlah diriku daripada keaiban dunia.
Tetapi, alhamdulillah... Setelah saya menerangkan apa yang berlaku sebenarnya, maka semua boleh faham dan menerima bahawa memang inilah realiti kondusi Ummah. Namun ' Hujan Mesej' dan 'Ribut Calling' masih menghujani dan melanda saya sehingga kini, dan yang paling baharu ialah pada 31/3/2011 jam 4.07 petang yang lalu dengan nombor telefon yang baru. 

   Sungguh, amat benarlah sabda Muhammad S.A.W yang telah tercatat dengan sanad dan matan yang sahih iaitu,
“Tidaklah aku tinggalkan sepemergianku ini fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum laki-laki daripada (fitnah) wanita.” 
                                                                                                  (Muttafaqun ‘alaihi)
AWAS! Umat Islam hari ini telah silap dalam memahami hadis ini. Ramai lelaki muslim yang menjadikannya alasan mengapa mereka terjebak dalam kancah maksiat. Alasan yang digunakan ialah, 
" Ni pompuan punya pasai la,memang dasar pembawa fitnah,hmm..nabi pon dah habaq lama dah.."
Alasan ini telah mencemarkan maruah Islam apabila ianya telah menimbulkan perspektif negatif terhadap Islam pada kaca mata golongan non-muslim. Lafaz yang membawa maksud wanita di dalam hadis itu ialah 'an-Nisa' '. Lafaz ' an-Nisa' '  bererti wanita secara umum tanpa dikhususkan kepada muslimah ataupun wanita non-muslim. Wanita  yang dimaksudkan oleh Rasulullah  di dalam sabdanya ialah golongan wanita yang mendatangkan fasad(keburukan) kerana keburukan peribadi mereka sendiri.

  Saya teringat dengan sebuah kitab yang pernah saya pinjam daripada Ustazah Jailah Bt Mambong, seorang muslimah dari Sabah yang bermusafir ke Mesir untuk mengutip mutiara ilmu di Universiti al-Azhar. Ketika itu saya hampir-hampir menduduki SPM, hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi, saya meminjam "Fatawa al-Mu'asoroh Jilid 3&4" , sebuah kitab fatwa kontemporari yang ditulis oleh Syeikh Dr. Yusof al-Qardhawi. Atas dasar minat dan ingin menjimatkan wang poket, saya menyalinnya ke dalam sebuah buku tulis yang belum habis digunakan pada waktu petang dan tengah malam. Soalan pertama yang termuat dalam kitab ini ialah,

" Adakah Pada Diri Wanita Itu Tidak Baik Semuanya? "

Syeikh Dr. Yusof al-Qardhawi  menjawab persoalan ini dengan beberapa ulasan peribadi dan beliau lebih banyak mengemukakan dalil daripada al-Quran serta hadis yang sahih sebagai jawapan. Berdasarkan jawapan-jawapan beliau, dapat difahami bahawa lelaki dan wanita itu sama sahaja di sisi Allah. Saya mengambil contoh 'tanggungjawab'. Secara dasarnya sama sahaja tanggungjawab lelaki dan wanita, iaitu sebagai Khalifah, cuma yang membezakan di dalam urusan apa mereka lebih dipertanggungjawabkan. Antara hujah beliau ialah,

" Allah menjawab kepada mereka: Aku tidak akan mensia-siakan amalan mereka yang beramal dalam kalangan kamu, baik lelaki mahupun wanita (kerana) sebahagian kamu adalah dari sebahagian yang lain"
                                                                                                              (ali-Imran:195)
" Wanita itu adalah saudara kepada lelaki"- Riwayat Muslim
"Dunia itu perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah"-Riwayat Muslim
"Mereka itu(para isteri) adalah pakaian bagi kamu(para suami) dan kamu(para suami) adalah pakaian bagi mereka(para isteri)."
                                                                                       (al-Baqarah: 187)

Secara holistiknya,dapatlah saya katakan yang membezakan lelaki dan wanita di sisi Tuhannya hanyalah 'Taqwa' , The Faith for The Honoured. Tujuan saya menerangkan hakikat ini bukanlah untuk membela wanita, tetapi untuk membela Islam daripada terus disalah tafsirkan oleh manusia sejagat. 

'Hujan Mesej' dan 'Ribut Calling' terus melanda saya, alangkah baiknya jika ada mana-mana muslimah yang sanggup membimbingnya. Kenapa tidak saya? Ya Allah, lemahnya hambaMu ini. Jika saya melakukan begitu, saya hanya membawanya kepada kelalaian fantasi Mahabbah Jahiliyyah. Harapan saya ada yang sudi membantu lantaran rasa bertanggungjawab terhadap keadaan ummah. Demi Allah, kita bersaudara!!


31311:10:22pm-Jannah balik dr asrama-pos permohonan KUIS+KUIN-b'kenalan 1anne semasa beli tepung di Selesa-kelastajwid:mad tabri'ah+mad asli suna'i

Read more...

Warkah buat Pejuang PLKN 2

29 March 2011

 بسم الله الرحمن الرحيم

Wahai rakan seperjuangan dari Kem PLKN Lagenda Seri Negeri,
seperti mana yang telah ana bicarakan di sana dahulu bahawa ana akan menghantar risalah-risalah panduan dan buku jika kewangan ana mencukupi, antara 29 - 31 Mac ini ana akan mengepos 2 risalah ke rumah kalian. Ana harap kalian masih istiqamah dengan usaha membawa perubahan dalam keluarga masing-masing. Ingatlah, sesungguhnya usaha kita ini tidak sia-sia dan permulaan mujahadah pada diri dan keluarga ialah suatu kaedah yang tepat malah merupakan suatu sunnah yang sangat mendalam penekanannya oleh Rasulullah terhadap kita. Persaudaraan ini adalah berteraskan aqidah yang murni.Insya-Allah, ana sedia membantu apa yang termampu sama ada ketika sibuk atau lapang kerana inilah hakikatnya perjuangan. Tanganku ini sentiasa terbuka untuk membantu kalian meneruskan perjuangan. Oleh itu, usahlah gusar dan bimbang ditinggalkan di pertengahan jalan perjuangan.

Wahai saudara-saudariku,
ana memohon ribuan kemaafan di atas kekhilafan dan kelemahan diri ini. Ana juga memohon kemaafan kerana menjadi punca berlakunya  ' zina hati ' kepada mana-mana rakan seperjuangan sekalian. Ana faham bagaimana rasa itu kerana ana telah pun menempuhinya di awal perjuangan dahulu. Sesungguhnya ana tidak membantu kalian melainkan urusan itu mempunyai kemaslahatan kepada Islam dan tidak terangkum di dalam erti 'Ikhtilat' iaitu pergaulan jahiliyyah. Pandanglah keadaan umat Islam,jangan pandang diriku ini. Insya-Allah, kau pasti dapat tangani rasa itu.Sekali lagi ana ingatkan, tanganku ini sentiasa terbuka untuk kalian, tanpa mengira masa dan di mana. 


Ini pesanku buat kalian: " Jangan pernah menyerah kalah dalam mujahadah, jangan tunduk pada dunia dan isinya, kita masih berada pada peringkat PROSES bukan HASIL, jadi bangkitlah. Usah sedih dan gundah, teruskanlah perjalanan. Kita tak tahu di mana hujungnya, namun kita pasti penghujung itu akan tiba dan ia dilimpahi hikmah dan nikmat. Insya-Allah.."

 Saudaramu,
حميدالدين
وسلام الله عليکم

Read more...

Dilemma Terungkai

27 March 2011

Wahai Mujahid,
Teruslah berjuang,
Usahlah kau biar diri dilema,
Antara perjuangan atau pengajian,
Di sini tiada pilihan,
Ummah sedang merana di sini sana,
Tanggunglah kedua-duanya,
Dengan adil dan saksama,
Perjuangan itu jiwamu,
Pengajian itu bekalanmu,
Keduanya itu perlu kau tumpu,
Kerna keduanya menuju matlamatmu,
Syahid di jalanNya Yang Maha Satu.

Wahai Mujahid,
Usahlah kau kenang dugaan silam,
Di situ hidupmu kelam dan kusam,
Penuh peristiwa hitam,
Penuh rasa hina dan ketakutan,
Kenanglah kemuliaan yang diberikan Tuhan,
Daripada orang awam menjadi 'peguam' kepada agama,
Membela dan terus membela,
Demi Allah yang Maha Kuasa,
Demi Muhammad yang dicinta,
Demi syahid yang dicita,
Maralah,
Jangan lagi kau toleh belakang,
Melainkan sekadar bekalan perjuangan.
Wahai Mujahid,
Dalam kesibukanmu membangun ekonomi,
Janganlah kau lupa adikmu yang masih di madrasah,
Dia perlu ditarbiyyah,
Supaya dia mampu memimpin muslimah,
Supaya dirimu ada pembantu di sisi,
Supaya agenda ini kau tak tanggung bersendiri,
Dia semakin dewasa,
Menjadi seorang muslimah,
Kau sentiasa berdoa,
"Kau jadikanlah adikku ini seorang mujahidah qudwah",
Namun usaha mencapainya kau sering lupa,
Hari ini dia tertanya " Ke manakah akhiku?",
Lafaz itu kerna mahabbah sesama ahli usrahmu,
Katakanlah kepada adikmu itu,
"Bukan akhi tak mahu,tetapi urusan ummah lebih perlu didahulu",
Terimalah bahawa inilah hakikatnya perjuangan,
Sudah sunnah dalam berjuang,
Diiringi tangisan dan sebak sendu.

Wahai Mujahid,
Usah kau harap sokongan insan,
Usah kau harap motivasi insan,
Memanglah semua itu mengerat tautan jiwa,
Namun cukuplah balasan Allah pemujuk kecewa,
Cukuplah cintaNya menjadi bicara bahagia,
Cukuplah kasihNya mengisi ruang jiwa,
Hakikatnya kau bahagia bersamaNya,
Kerana hanya di situ ada yang kau cita dan cinta,
Hidup sebagai mujahid,
Mati sebagai as-Syahid.


1.17am-27-3-11-
Selesai urus konsert bersama In-Team,lawat ukhti di madrasah,tahajud.

Read more...

Israel Desak Facebook Tutup Laman Intifada

25 March 2011

 

    Menteri Israel bidang Diplomasi dan Yahudi Diaspora, Yuli Edelstein mengirim surat kepada pemilik laman jejaring sosial Facebook, Mark Zuckerberg, Rabu (23/3). Dalam suratnya, Edelstein meminta Zuckerberg untuk menghapus halaman grup di Facebook yang menyerukan gerakan Intifada ketiga di Palestin untuk melawan Zionis Israel.
  
   Grup "Gerakan Intifada Ketiga" itu baru dilancarrkan kurang dari sebulan yang lalu di Facebook, dan langsung mendapat dukungan yang luar biasa dari para pengguna jejaring sosial itu. Sekitar 250,000 Facebooker menyatakan dukungannya terhadap seruan untuk mengadakan perlawanan Intifada ketiga terhadap Israel pada tanggal 15 Mei akan datang, bersamaan dengan peringatan hari Nakbah atau "Hari Bencana" bagi rakyat Palestin saat berdirinya negara haram Israel.
 
   Para pembuat halaman grup "Intifada" itu menyatakan, mereka terinspirasi oleh kebangkitan rakyat di Timur Tengah yang mampu menumbangkan pemimpin diktator seperti di Tunisia dan Mesir. Mereka berharap bangkitnya gerakan Intifada juga boleh menumbangkan rejim Zionis Israel, dengan perjuangan seluruh rakyat Palestin dan bantuan dari negara-negara tetangga Palestin.

    Selain menyerukan gerakan "Intifada ketiga" halaman grup di Facebook itu juga menyerukan agar masyarakat Arab di Jordan, Mesir dan Syria terus melakukan aksi protes, sementara rakyat Palestin di Tebing Barat dan di Jalur Gaza akan melakukan serangan ke pemukiman-pemukiman ilegal Israel di wilayah Palestin. Mereka juga menyerukan Lebanon untuk memberikan bantuan, dengan menembakkan misil-misilnya ke wilayah Israel.
Edelstein dalam suratnya mendesak Zuckerberg untuk segera menutup halaman grup "Intifada" itu. Ia menyatakan, surat itu ditulis bukan atas kedudukannya sebagai menteri Israel, tapi sebagai orang yang ingin berbahagi nilai-nilai dalam kebebasan mengungkapkan pendapat, yang menurutnya berbeza dengan kebebasan yang sifatnya menghasut.

Read more...

REHAT!

22 March 2011

  Alhamdulillah,ada juga ruang untukku mencoret kisah-kisah. Langkah mujahadahku semalam disudahkan dengan suatu istilah yang membuatkan aku terasa serba salah. 

" REHAT "
Ucapan 'rehatlah dulu' daripada seorang sahabat seperjuangan itu benar-benar membuatkan aku jadi resah. Layakkah aku rehat sedangkan ummah masih berkecamuk dek amukan nafsu amarah, hasad dan syahwat diri? Layakkah aku pejamkan mata sedangkan saudaraku di Timur Tengah sana ditindas dan dizalimi oleh penguasa laknatullah? Layakkah aku rehat sedangkan diriku dan masyarakat masih belum benar-benar menghayati erti syahadat? Layakkah aku rehat sedangkan syahid menjadi matlamatku?

Tak! Tak ! Aku tak layak menikmati istilah rehat. Biarlah suatu masa nanti Allah yang bagi aku rehat. Wahai saudara-saudaraku, nikmat rehat di sini hanyalah sementara sedangkan di sana kekal selamanya. Rehat di sana lebih indah daripada segalanya. Aku bangkit mendapatkan Agenda Buku Hijau. Buku yang tercatat segala perancangan dan strategi pelaksanaan yang tak pernah dikongsi dengan sesiapa. Sedang aku lesap dalam dunia penulisan risalah Allah, terdengar suara abah, 

" Dahlah, tidoqlah.. tiap-tiap malam dok tidoq lewat-lewat nanti badan letih tak cukup rehat, dah, pi tutup lampu".

  Semalam juga lerai sudah sebuah resah. Alhamdulillah.. mak dah sihat semula. Terungkap juga seungkap bicara dari mulut mak, yang tajam menikam benakku,

"Perjuangan, perjuangan la jugak, keluarga jangan lupa.."

Wahai ibuku, aku faham rasa itu, takut kehilangan perhatian anak-anakmu. Aku sedar tanggungjawab terhadapmu. 
 
  Wahai muslimin, kita dilahirkan dengan bermacam kelebihan berbanding muslimat. Di dalam sebuah hadis yang sahih dengan sanad yang sahih ada disebutkan:

النساء ناقصة العقل ونا قصة الدين

"Wanita itu mempunyai kekurangan pada kekuatan pemikiran 
                     dan kekurangan dalam urusan agama( spt uzur syarie dsb)"


Namun ingatlah! Kelebihan itu bukan untuk kita berlagak gagah dan bermegah. Semuanya milik Allah. Kelebihan-kelebihan itu kerana tanggungjawab yang terpikul dan terpundak di bahu kita. Jika disalah guna boleh bawa bahana kepada kita di muka pengadilan kelak. Dan berikut ialah senarai tanggungjawab diri daripada perspektifku:

- menginfakkan tenaga di jalan perjuangan agamaNya
- mengutip mutiara ilmu sebanyak mungkin
- membimbing diri, keluarga dan  masyarakat agar mengikut syariat Islam
-membina kekuatan ekonomi di masa hadapan yang mengambil kira kewangan ummah,   
  keluarga, bakal keluarga, organisasi dan diri
- mendalami alQuran dan hadis
- mempertingkatkan Aspek Peningkatan Diri(APD)
- dan banyak lagi...
  Walaupun terlalu banyak tanggungjawab yang diamanahkan Allah ,tetapi insya-Allah jika kita
sentiasa ingat kepada Allah dan saling membantu, segalanya akan jadi mudah. Ingatlah firmanNya,

‘Sesungguhnya dengan mengingati Allah itu dapat menenangkan hati.’
                                                                                  (Surah Al-Ra'dhu: 28)


Read more...

HISTORY OF ISLAM - THE EMPIRE OF FAITH PART II

20 March 2011

'HISTORY OF ISLAM - THE EMPIRE OF FAITH PART II' ialah sebuah siri dokumentari Bahasa Inggeris.Siri ini ialah siri yang kedua daripada tiga siri yang diproduksikan. Proses penghasilan dokumentari ini siap sepenuhnya pada tahun 2000. Dokumentari ini memaparkan sejarah Islam bermula dari kelahiran Muhammad S.A.W. sehinggalah Empayar Uthmaniyah yang disebut Ottoman. Pengarah filem dokumentari ini ialah Robert H. Gardner.



Pautan untuk memuat turun

MEDIAFIRE.COM


SELAMAT MEMUAT TURUN. SEMOGA BEROLEH MANFAAT DARINYA.~

Read more...

HisbahTheMovie[2009]PCM

Mansurah,- Setelah sekian lama menanti, akhirnya 'Hisbah The Movie' telah pun dikeluarkan secara rasminya dan boleh dimuat turun melalui capaian di bawah. Pihak moderator memohon jutaan maaf atas kelewatan ini. Semoga anda terhibur dan mengambil pengajaran melalui video ini.


Pada suatu hari, Farid (Farid) mendapat suatu panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Panggilan tersebut agak merunsingkan dirinya yang sedang sibuk menelaah pelajaran. Menyedari akan tanggungjawab berat yang dipikulnya, Farid tetap bangun menyahut suatu misi yang diberikan.

Dibintangi oleh pelajar-pelajar perubatan Mansurah, filem pendek ini dirakam bertujuan untuk memberi kesedaran kepada remaja hari ini akan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim atas saudara Islam yang lain iaitu 'Amar Makruf Nahi Mungkar'

Production by: Unit Hisbah PCM 08/09
Content of file include:
  • Hisbah The Movie
  • Cover album
  • Wallpaper
Direct Download:
  Pautan di atas disediakan oleh PCM. Ini pula pautan yang ana cadangkan :

 .:: MEDIAFIRE::.

Saiz:88.76MB


~SELAMAT MEMUAT TURUN- MANFAATKAN UNTUK UMMAH~

Read more...

Sirah Lalu..

19 March 2011


Wahai Mujahid,
Ketika kau usaha mengubah keluarga,
Tak lupa jua keperluan ummah,
Hadir menjengah sirah perjuanganmu yang lalu,
Rupanya masih ada yang samar dan keliru,
Kau dibayangi diri yang lalu,
Ambillah 'ibrah dari peristiwa-peristiwa itu,
Salah itu kerana kejahilan diri,
Allah itu Maha Adil,
Tak menghukum kepada yang tidak mengerti,
Terimalah ia sebagai nasihat daripada Ilahi.


Wahai Mujahid,
Antara keluarga dan masyarakat,
Keduanya menuntut engkau bersama,
Engkau tertanya,' Yang Manakah lebih utama?'
Terlintas di fikiranmu,
Islam menuntut egalitarianisme,
Kau galaslah kedua-duanya,
Kerana di situ adanya hikmah,
Yang sentiasa kau yakini,
Tanggungjawab itu tanda rahmah.

Wahai Mujahid,
Ingatlah,
Kau tak layak memiliki,
Walau secebis dari dirimu,
Islam lebih layak terhadapmu,
Allah itu Maha memiliki,
Hakikat dimiliki itu lebih indah dari memiliki,
Serahkanlah dirimu kepada Tuhan,
Kau kan tenang apabila kau dimilikiNya.

Wahai Mujahid,
Berangkatlah ke medan itu,
Medan perjuangan yang jauh berbatu-batu,
Di situ ada sahabat menunggu,
Sudi membantu walau dirinya sarat bebanan,
Hargailah sahabatmu sekadar syariat sarankan,
Jangan dilupakan niat asalmu,
Segalanya demi Tuhanmu,
Allah yang Maha Satu.

Wahai Mujahid,
Kembalilah kepada matlamat hidupmu,
Redha dan syahid kerana Dia yang Esa,
Pintalah dariNya,
Agar dirimu dilatih menjadi mujahid sebenar,
Agar dirimu syahid di jalan yang benar,
Ingatlah permohonan ini,
"Hidupkanlah aku sebagai mujahid",
"Matikanlah aku sebagai asSyahid".



                                                                          190311-10:37pm

Read more...

Espirit

18 March 2011

 Klik sebelah kanan tetikus dan klik ' Save image as' untuk memuat turun..

Read more...

Jom J0in!

17 March 2011

Jom hadir ke Majlis Memperingati Kekasih Sempena Maulidur Rasul pada 25 Mac ni!

Read more...

Wahai Mujahid..

15 March 2011


Wahai Mujahid,
Kenapa engkau begini, 
Runsing dan pening di sepanjang hari,
Terus memikirkan masa depan ummah,
Bagi kau akhlak ummah semakin bernanah,
Aqidah ummah semakin rapuh dan tidak ampuh,
Hidup ummah seperti hilang syariat sudah,
Ahhh,
Wahai ummah,
Lupakah kalian pada Allah,
Tidakkah kalian kasihankan Rasulullah,

Wahai Mujahid,
Sabarlah, sabarlah, sabarlah,
Kawal amarahmu dan jangan kau lupa,
Engkau juga ummah,
Semalam engkau rebah ketika solat,
Ini kenyataan bukan satu kiasan,
Tidak pernah berlaku begitu padamu,
Rebahmu itu lantaran malu dan takut pada Tuhanmu,
Engkau terlalu mengidam syahid,
Namun engkau juga sering terfikir,
"Adakah cukup amalan dan pengorbananku ini?"
Lantas kau rebah di atas sejadah,
Jasad berotot jadi lemah,
Air mata merungkai madah,
Jasad dan roh turut gundah,
Di saat itu imanmu berbicara,
'Serahkan pada Allah menentukan sudah'.

Wahai Mujahid, 
Mengertilah perihal agamamu,
Islam itu bernilai melebihi dirimu,
Ikhlaskanlah hati memburu cinta,
Cinta Tuhanu yang selama ini kau cari,
Moga kau dapat menggenggamnya,
Hingga ke helaan nafas terakhirmu nanti.

Wahai Mujahid,
Katakanlah kepada temanmu itu,
Engkau asingkan diri bukan kerana benci,
Apalah lagi kerana dengki,
Dua tahun tempoh ditetapkan,
5 hari bulan 2 titik transformasi,
Demi membersihkan hati dan islah diri,
Katakanlah kepada temanmu itu,
"Moga tsabat dalam perjuangan"
Kerana memang itu yang kau ucap dalam doamu,
Kini tiba masanya engkau mengerti,
Nilai ikhlas,sabar dan berdikari,
Yang hanya diperolehi dengan rutin kehidupan begini.

Ya Allah,
Hidupkanlah jiwa ini sebagai Mujahid,
Matikanlah jiwa ini sebagai as-Syahid.
Aminnnn..


Read more...

Warkah buat Pejuang PLKN

14 March 2011

بسم الله الرحمن الرحيم
  
Ahlan wa sahlan.. Selamat datang ke arena ini. Arena perjuangan yang penuh ranjau dan onak duri. Perlu ana ingatkan segala pahit perit ini hanya sementara. Sesungguhnya Allah telah memuliakan kalian sebagai barisan pejuang agamaNya.  Wahai insan-insan yang terpilih dari Kem Lagenda Seri Negeri Langkawi , wira dan wirawati,  ingatlah saudaraku, bukan diri ini yang memilih kalian untuk menyusuri jalan perjuangan ini, tetapi Dia yang telah memilih diri-diri kalian, segalanya mustahil untuk berlaku jika Dia tidak mengizinkan.

Wahai

Abdul Karim,
Muhamad Azuan b. Amran,
Nor Faizah bt Ahmad,
Hannah bt Md. Shofi,
Norfarah Hanim bt Kamaludin,
Nurul Farhana bt Mohd Radzi, dan
Siti Maisarah bt Mohamad Kamal,

apa yang ana lakukan ini ialah di atas tanggungjawab sebagai seorang muslim walaupun tiada apa-apa jawatan formal. Ingatlah di antara tanggungjawab dan jawatan itu jauh bezanya, dan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan hamba padaNya itu adalah semulia-mulia tanggungjawab. Dan tanggungjawab ini telah pun diamanahkan oleh Allah kepada kita.

من أدخل السرور على أهل بيت من المسلمين لم يرى الله جزاء دون الجنة
“ Barang siapa yang memasukkan kegembiraan kepada sebuah keluarga dari kalanagn muslimin, maka Allah tidak melihat balasan yang lebih tepat baginya melainkan syurga”


Pelan Transformasi Usrah(PTU) yang ana kongsikan bersama saudara-saudari tempoh hari di Surau alMansur bertitik tolak di atas kesedaran sabda Rasulullah di atas. Ana sering ditekan persoalan, “ Sampai bila keluarga aku harus begini?”. Ya, sudah jelas suasana dalam keluarga kita tak banyak bezanya bilamana ana menganalisis perwatakan dan jawapan saudara saudari. Hakikatnya keluarga kita belum layak digelar Baitul Muslim, apatah lagi untuk melahirkan Generasi Haraki iaitu generasi yang sentiasa menggerakkan agamanya dalam keadaan senang mahupun susah.
Oleh itu, kita perlulah saling bantu membantu seperti mana firman Tuhan kita, Allah Azza Wa Jalla:

“ Dan lelaki-lelaki yang beriman serta perempuan-perempuan yang beriman itu sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”                    
                                                                           (Surah at-Taubah: 71)

Wahai saudaraku,

Dasar ikatan jiwa-jiwa kita ialah akidah. Akidahlah yang menghubungkan kita walaupun kita tinggal berjauhan,serta tidak bersua muka. Hanya dengan akidah, ukhwah yang luhur dan erat dapat dibina . Persaudaraan di dalam Islam mencapai tahap empati, bukan sekadar simpati. Simpati itu bererti kasihan, empati pula bererti kita berasa kasihan dan memikirkan bagaimana caranya dapat kita membantu sesama saudara. Empati itu disertai dengan usaha yang merupakan hasil tindak balas kasih sayang di antara saudara yang sememangnya sedia wujud sebagai seorang ‘Muslim’.

Namun, harus diingatkan, persaudaraan dan kasih sayang di antara kita dibataskan oleh cinta kepada Allah. Janganlah persaudaraan ini dicemari dengan zina hati. Zina hati ialah keadaan bila mana kita meletakkan cinta kepada seseorang itu melebihi cinta kepada segala yang lebih utama untuk dicintai seperti Allah, para rasul dan anbiya’, Muhammad, ahlul bait, sahabat baginda serta salafussoleh, para ulama dalam erti kata sebenar yang mengamalkan ilmunya dengan tepat, ibu bapa dan ahli keluarga serta segala yang lebih utama. Dan di sini, ana memohon maaf sekiranya diri ini ada menyebabkan zina hati kepada saudara-saudari.

Dan ini adalah antara tanggungjawab utama sepanjang persaudaraan ini:

1) Berusaha mendaulatkan syariat dan memelihara batas agama.
2) Berusaha memahami serta membantu saudaranya memahami Islam 
dalam erti kata yang sebenar.
3) Membantu saudaranya dengan kadar kemampuan diri sama ada ketika 
senang ataupun susah.
4) Mendoakan kesejahteraan dan kejayaan saudaranya dalam usaha baiknya
    sama ada dengan pengetahuannya mahupun tidak.

Wahai saudaraku, ingatlah jika kalian ‘jatuh’ ditimpa musibah atau ‘patah’ dalam mujahadah, katakanlah pada diri , “ Aku hanya rebah pada peringkat PROSES, bukan pada HASIL ”. Hiduplah sebagai mujahid dan mujahidah sebenar, mudah-mudahan bertemu syahid ,bertamu di syurga. Kerana Allah, kita bersaudara!
 
Saudaramu,
حميدالدين
وسلام الله عليکم




Read more...

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP