.

Kau sindir aku?

03 January 2011


  "Bagaimana agaknya keadaan negara kita apabila tiada lagi generasi yang mahu memimpin. Yang TUAN sekarang hanya tahu dipimpin, itupun masih tidak tahu mendengar kata pemimpin.."


"Memimpin itu bukanlah perkara yang mudah. Banyak kekangan dan halangan perlu ditempuh. Setiap tindakan kita pasti akan ada sokongan dan tentangan. Kalau jasad dan minda tak bersedia, silap-silap hari bulan satu kepimpinan boleh roboh begitu sahaja", aku mengingatkan.


"Maksud kau generasi muda tak layak memimpin Malaysia ? "


"Bukan begitu, maksud aku mereka perlu benar-benar matang dan berilmu untuk mentadbir negara 'Islam' Malaysia ini.."


" Jadi, yang kau maksudkan ialah mereka tak mampu memimpin negara. Begitu?"


"Kedua-duanya bukan. Ya jika mereka tak bersiap siaga tetapi jika mereka sedia bila-bila sahaja pemimpin sekarang boleh menyerah amanah . Memimpin itu ada syaratnya."


" Syarat? Apa syaratnya? "


" Yang paling utama ialah dia perlulah berilmu. Tak perlulah aku beritahu ilmu apa yang paling utama. Pernah kau dengar pepatah ni- When you stop reading, you stop leading. Maksudnya kalau nak jadi pemimpin perlulah mencintai ilmu kalau tidak terhentilah kepemimpinan walaupun masih belum tamat tempoh memimpin", aku  cuba menjelaskan apa yang termampu.

 

" Sebenarnya aku pernah terfikir untuk menjadi pemimpin negara. Aku mahu wacanakan sebuah perubahan dalam ketamadunan insan dan tranformasi corak pemikiran ummah. Aku juga merancang untuk menggunakan semula sistem dinar emas dan sistem syura pada peringkat pentadbiran pusat. Bermula hari pertama aku memimpin, aku akan adakan mesyuarat perdana untuk menyelaraskan pemerintahan yang telah lama songsang. Kebajikan dan subsidi kepada rakyat akan aku kembalikan semula. Aku akan ubah sistem kuku besi ini!"


" Untungnya aku kalau negara kita dipimpin oleh kau", balas aku selamba.


" Kau puji atau sindir?"


" Entahlah, cuma aku nak ingatkan kau, kita perlu berpijak pada bumi nyata. Angan-angan itu membuahkan cita. Cita pula menyemai rasa. Rasa pula menggerak asa. Dengan asa yang sepenuhnya dan tawakal pada Yang Maha Esa barulah kita dapat melakukan perubahan ini. Kau tahu jika kau mahu merencanakan sebuah perubahan apa perkara pertama yang perlu kau ubah?"



" Emm... pemikiran masyarakatlah kerana minda yang menguasai diri".

 

" Bukan, diri kau sendiri yang perlu kau ubah. Baik, aku terus terang. Aku kagumi semangat kau, sungguh murni. Namun, tanpa usaha yang konsisten segalanya hancus. Kau hanya berangan-angan. Kesannya, tak ada perubahan pun yang mampu kau lakukan. Aku lihat kau berjalan ke arah aku tadi. Kasut kau mengesot lantai. Langsung tak ada penampilan. Maaf jika aku terkasar bicara tetapi kerana kau saudaraku maka aku mesti tegur. Sedar atau tidak engkau membawa imej agama, imej Muhammad yang dirindui. Kau juga terlalu banyak tidur, sedang ummah bergelut dalam kecelaruan fahaman di luar sana. Kau akan kecewa di hari tua jika engkau terus berangan tanpa tindakan. Tanpa tindakan segalanya sia-sia saudaraku."


" Hmm... engkau orang pertama yang berkata begini kepada aku."


" Sekali lagi aku minta maaf jika aku terlalu berterus terang. Aku harap kau boleh menerimanya dengan hati dan minda yang terbuka. Aku juga melakukan kesilapan. Biar pada bicara mahupun perbuatan, pasti ada yang tersalah. Jika kau sedar tadi aku telah melakukan kesilapan pada bicara. Aku sindir kau. Kesannya, kau sedikit membentak dan marah. Kemudian aku berterus terang dengan ikhlas dan kasih sayang, kau boleh menerimanya. Itulah hikmah dalam bicara. Jika kita bijak menganalisis suasana, pasti ada ilmu yang dapat kita timba. Ilmu di mana-mana, bukan hanya di dalam kelas dan kuliah. Aku saudaramu.Ingat, kau mampu merubah hanya jika kau berubah! "


Pemerintahan negara Islam sepatutnya berpusat di Rumah ALLAH.

 Inilah dia bicara penulis dengan seorang sahabat yang dicintai. Duhai sahabat, Demi ALLAH, aku mengasihimu. Sekian lama berjuang bersama, kau kulihat kian alpa dengan keseronokan berhujah. Ingat pesan rakan seperjuangan kita, Ahyad Md Desa, berhujah hanya kerana mencari kebenaran.

3 comments:

Remind Me January 3, 2011 at 1:04 AM  

nasihat yang berkesan untuk diri ini.. aku terpaku dan memikirkan adakah aku juga begitu?? hmm muhasabah diri........

Mohamad Hamiduddin Ismail January 3, 2011 at 10:33 AM  

Sebuah hadis yang ditakhrijkan oleh al-Bukhari menyebutkan bahawa mukmin itu bukanlah mereka yang jatuh dua kali di dalam satu lubang.Kita pernah silap, mudah-mudahan kita tak mengulangi kesilapan yang sama. Kita BERUBAH demi ALLAH.

Anonymous,  February 3, 2011 at 2:45 PM  

A great article...

Post a Comment

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP