.

Pusat Tarbiyah Dah Runtuh?!

29 December 2010

Pondok nilah ana selalu menyorok kalau 
main nyorok2.


   Setelah hampir 7 bulan tidak menziarahi Pusat Tarbiyah yang kian suram ini, akhirnya pada 27 Disember 2010, ana sempat sekali lagi menziarahi Pusat Tarbiyah ini.Pondok kecil inilah tempat ana memperoleh ilmu hadis, tajwid, latihan fizikal dan banyak lagi.Percaya ka?  Jangan cepat percaya sangat, baca biarlah sepenuhnya.Inilah namanya adil terhadap ilmu. Nilah dia pondok usang separa roboh belakang rumah Tok ana.Walaupun buruk, tetapi penuh nostalgia yang yang membangkitkan ruhul jihad.

   Di sinilah ana dilatih secara tidak langsung untuk memenuhi 10 ciri-ciri muwassafat tarbiyah. Muwassafat tarbiyah meliputi 10 aspek berikut:

  1. Salimul aqidah (Aqidah yang benar)
  2. Sahihul ibadah (Ibadah yang menepati syara')
  3. Matinul khuluq(Akhlak yang sempurna)
  4. Qawiyyul jismi( Kekuatan dan ketahanan fizikal)
  5. Mutsaqaful fikry( Daya intelek yang tinggi dan matang)
  6. Mujahadatun linafsihi ( Mampu berjuang melawan lawan hawa nafsu)
  7. Hasrishun 'ala Waqtihi( Bijak menguruskan masa)
  8. Munazzhomun fi syu'unihi( Teratur dalam urusannya)
  9. Qadirun 'ala kasbi( Mampu berdikari)
  10. Naafi'un lighorihi( Bermanfaat kepada orang lain)
   Salimul aqidah, di sini ana diajar untuk tidak bertuhankan dunia.  Bukan bermaksud mengamalkan sistem tidak bertuhan, tetapi membuang segala perkara yang menyebabkan jiwa muslim menduakan Allah. Jika tidak menduakan Allah pun, meletakkan sesuatu itu setaraf dengan Allah, umpamanya  mengutamakan televisyen, laptop, komputer, PS3(bagi yg ada sjlah ana x prnah merasa) dan perkara-perkara yang melalaikan diri daripada mengutamakan syariat Allah. 


  Kalau main 'aci ligan duduk' atau 'bola beracun' sampai lewat, pasti kena marah dengan Tok. Kalau tonton televisyen lama-lama atau cerita pelik-pelik(lagha dan x tutup aurat), Tok pasti akan tutup suis terus,hmm.. semua tak boleh tengok.Pernah suatu hari ana geram, ana tanya," Tok, awat Tok tutup TV, kami nak tengok katun?". Mudah saja Tok jawab, " Ni rumah Tok". Ana terus diam. Hakikatnya, apabila sudah dewasa, ana baru sedar bahawa ini ialah salah satu konsep tarbiyah. Mudah-mudahan cucu-cucu Tok, semuanya mengutamakan Allah dalam pelaksaan urusan harian. 


Ni ayam jiran sebelah, kalau masuk rumah orang memang x tahu nak balik. Kalau ada yang ziarah rumah orang tapi x reti nak balik-balik, maka jadilah dia.... 'AYAM! '
Ni pulak rumah sementara ana kalau kena marah dengan Tok, biasanya ana tinggal bersama sepupu ana dari Terengganu di sini. Jatuh dah banyak kali. Tapi tetap naik lagi...


Kalau musim rambutan, pokok ni penuh dengan 'dragonball' merah dan semut merah kehitaman.
 
  Sahihul ibadah ialah melaksanakan ibadah mengikut acuan Rasulullah. Bagaimana yang diajar, begitulah yang diimplementasikan. Setiap ibadah dilaksana tanpa penambahan mahupun pengurangan yang akan mencemarkan ibadah tersebut. Melakukannya wajib dengan dalil naqli  dan pengetahuan, bukan bertaqlid(membuta-tuli) semata-mata. Kewajipan ini hanya gugur sekiranya seseorang itu benar-benar tidak berkemampuan dari aspek intelek seperti gila, masa, dan kesihatan.

   Apabila tiba bulan Ramadhan, biasanya semua 11 keluarga dari sarwajagat Malaysia akan berkumpul. Iftar Jama'ei sememangnya menjadi kewajipan bagi keluarga ana. Kalau doa yang kurang menepati sunnah diamalkan, di sini diajar mengamalkan doa yang lebih menepati sunnah. Begitu juga ketika solat, ana diajar untuk solat di awal waktu, mana tidaknya pukul 4.30 pagi Tok sudah buka lampu.

  Matinul khuluq bererti akhlak yang sempurna.Kesilapan yang sering diabaikan oleh para pendakwah ialah berakhlak buruk. Carutan dan makian menghiasi bicara yang pada fikiran mereka inilah dia semangat jihad. Ingatlah, Rasulullah itu diutuskan sebagai qudwah dan uswah yang terbaik bagi diri seorang muslim. Di sini, ana dibiasakan untuk menghormati orang tua, kalau Tok kata duduk diam, kenalah duduk diam-diam, kalau tak Tok cubit. Dulu mungkin sakit, tapi sekarang... geli dan gatal.

  Qawiyyul jismi ialah suatu keperluan bagi mereka yang mahu berjihad dan menyampaikan risalah Allah.Jika selalu sakit, pastinya perjalanan dakwah terganggu. Kekuatan fizikal yang kuat amatlah mustahak bagi menghadapi tekanan dan cabaran sepanjang mujahadah. Kalau di rumah Tok, memang sudah jadi trek 100m, lapangan 'paintball' pun boleh,gelanggang futsal, gimnasium atas pokok, senang kata macam-macam aktiviti lasak boleh diadakan di sini termasuklah main kejar-kejar dengan tebuan dan lebah.Pernah cuba?Berani, cubalah.
Lapangan inilah yang menjadi pilihan ana untuk main 'bola beracun'. Tahu nak main macam mana?
Kalau cari atas pokok dan di pondok buruk x ada, carilah ana di belakang tangki ni. Tapi pernah sekali menyorok belakang tangki tanpa disedari seekor biawak besar lalu belakang ana, sehingga saat ini ana trauma. Jangan cari ana dalam tangki ni sudah..

Kalau nak main kejar-kejar dengan lebah bolehlah goncang-goncang pokok ni, manalah tahu lebah tu nak kongsi madu. Tapi ana cadangkan pasang kuda-kuda siap-siap la..

  Mutsaqaful fikry sewajarnya dimiliki oleh setiap muslim. Daya intelek yang tinggi, pemikiran yang rasional dan matang mampu mengangkat martabat Islam. Dalam merangka pembangunan ummah, individu itu perlu mampu menjangkakan perkembangan ummah dan melaksanakan pembangunan dengan ilmu dan kekuatan intelek yang dimiliki.

   Mujahadatun linafsihi bermaksud mampu berusaha melawan hawa nafsu diri.Setiap insan mempunyai kecendurungan kepada perkara yang baik dan buruk. Tanpa iman yang tebal, sukar untuk seseorang muslim mengalahkan nafsunya. Setiap muslim sepatutnya mempunyai kesungguhan untuk menundukkan hawa nafsunya agar patuh pada Allah. Ini kerana Rasulullah bersabda:
"Tidak beragama seseorang daripada kamu, sehingga dia menjadikan hawa nafsunya menuruti apa yang aku bawa(ajaran ISlam"-HR Hakim.
   Hasrishun 'ala Waqtihi  dan Munazzhomun fi syu'unihi merupakan dua ciri yang tidak dapat dipisahkan.Menepati masa dan teratur dalam urusan adalah suatu sunnah yang sangat utama dalam peribadi muslim. Kedua-dua ciri ini membentuk muslim professional yang tenang. Jam Islam bukan jam Melayu. Jika pukul 10pagi dijanjikan mesyuarat bermula, maka jam 10pagilah mesyuarat dimulakan, tidak ada penambahan masa mahupun pengurangan.

    Qadirun 'ala kasbi ialah mampu berdiri di atas kaki sendiri. Mampu berdikari. Tidak perlu menjadi pahat yang menanti penukul untuk melakukan sesuatu tugasan. Jika diamanahkan sesuatu perkara tanpa dijelaskan bagaimana melaksanakannya, perkara ini tidak menjadi masalah dan kekangan kepadanya kerana dia mampu berusaha bertanya kepada yang lebih mengetahui. Berkemampuan dari segi kewangan juga sangatlah penting,Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk menjadi seorang yang kaya raya,asalkan digunakan pada jalan yang dilandaskan oleh syarak.



   Akhir sekali ialah Naafi'un lighorihi, bermanfaat kepada orang lain. Inilah masanya untuk kita menguji siapa diri kita yang sebenar. Di manapun seseorang itu berada, orang sekelilingnya merasakan kepentingannya.

Wallahua'lam..

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP